Rencana di bawah disiarkan oleh akhbar Metro pada 23 Februari tahun lalu. Kalau dibaca, memang mulia tahap wali la lelaki ni… tup tap tup tap… hari ini polis umumkan dia diburu kerana dipercayai menipu pakej umrah dengan kerugian mencecah RM250,000.
Dalam salah satu laman web mengenai syarikat miliknya, tiba-tiba ada gelaran dato pulak… memang datuk dia sendiri yang bagi kot tak tahulah.
Zakariah bangkit daripada kegagalan
SEKALI jatuh, tidak mungkin rebah selama-lamanya. Itulah prinsip dipegang Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iEPU Holding Sdn Bhd, Zakariah Hassan. Lelaki ini pernah jatuh berkali-kali, namun tetap bangkit untuk menongkah kesukaran dialaminya.
Pengalaman zaman kecil yang menempuhi kesusahan bersama ibu bapa tersayang membuatkan anak sulung kepada tujuh beradik ini mengenal erti perjuangan tanpa wujudnya frasa berputus asa.
“Saya anak sulung, oleh itu menjadi tanggungjawab saya untuk menunjukkan contoh terbaik buat adik lain. Berikutan itu, saya bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan syukur, anak orang susah ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang sebaik tamat tingkatan lima.
“Keputusan terbaik itu membuka peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara).
Apabila dimaklumkan kepada arwah bapa mengenai tawaran itu, jawapan diberikannya sungguh mudah.
“Kata bapa, ‘kamu lihat saja keadaan keluarga dan adik-beradik lain’. Saya mengerti kesusahan hidup keluarga yang hanya bergantung harap kepada pendapatan bapa sebagai buruh di Pelabuhan Klang ketika itu,” katanya memahami isi tersirat diluahkan bapanya.
Meskipun kecewa tidak dapat melanjutkan pelajaran, Zakariah tidak membiarkan dirinya hanyut dengan kesedihan, sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai abang apabila mencari pekerjaan di sekitar kawasan pelabuhan.
Bergelar kerani perkapalan dengan gaji RM300 memadai buat Zakariah meringankan bebanan bapa. Selepas menolak wang peruntukan kerja dan makan tengah hari, wang gaji diserahkan sepenuhnya kepada arwah ibu sebagai belanja dapur.
“Mengerti nilai wang diterima hasil titik peluh membuatkan saya tidak boros. Selama dua tahun membanting tulang di situ, saya hanya memakan roti canai dan air suam untuk mengalas perut.
“Waktu kerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, demi memuaskan kehendak diri, pada waktu malam saya mengikuti kursus perakaunan selama setahun lebih hingga memiliki pengiktirafan.
“Kemudian, rezeki saya semakin luas apabila ditawarkan jawatan kerani akaun oleh Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) di Jalan Conlay, Kuala Lumpur selama dua tahun,” kata bapa kepada sembilan cahaya mata ini.
Amanah kerja yang terlalu membebankan hingga memaksa Zakariah ‘berkampung’ di pejabat, membuatkannya beralih angin apabila menyertai syarikat swasta tembakau dalam bidang jualan dan pemasaran.
Kemudahan terbaik disediakan syarikat tidak mampu mengikat kaki Zakariah untuk terus berkhidmat di sana, selain menyedari dirinya bersikap hipokrit iaitu memujuk perokok menggunakan produk syarikat, sedangkan dia tidak memiliki tabiat berkenaan.
Mungkin hikmah bersikap jujur dengan diri sendiri, lelaki kelahiran Klang ini kemudian menerima tawaran daripada Netlot EAS Shipping yang beroperasi di Larkin, Johor sebagai pegawai pemasaran.
Bertanggungjawab mempromosi ruang perkapalan dalam kalangan pengeksport dan pengimport di bahagian selatan membuatkan jaringan perhubungan Zakariah semakin berkembang.
Apabila seorang teman mencadangkan dia menjalankan perniagaan berbentuk pembangunan, Zakariah mengambil peluang untuk memperbaiki kehidupan.
Kejayaan membangunkan 364 unit rumah kos rendah di Bestari Jaya (dulu Batang Berjuntai) di bawah projek kerajaan Selangor membuka pintu rezeki yang lain.
“Bayangkan kehidupan saya ketika itu yang mula lalai dengan kemewahan.
“Saya bercuti bersama teman ke London, kemudian terbang ke Paris semata-mata untuk makan tengah hari dan bermalam selama dua hari sambil berbelanja.
“Selepas itu kembali ke London dan berbelanja saja. Masa itu saya ingat kejayaan akan berterusan dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
“Mungkin Allah SWT mahu menyedarkan saya, lalu berlaku krisis ekonomi pada 1997 dan perniagaan terus jatuh. Banyak projek perumahan terbengkalai.
“Saya terpaksa menjual rumah gara-gara ingin membayar hutang, dua rumah lagi dilelong dan tiga kereta mewah ditarik bank kerana tiada pembayaran. Masa itu semua saudara-mara dan kawan menjauhkan diri dan saya bermuhasabah diri serta mendekatkan diri dengan Allah SWT,” katanya.
Bangkit daripada kejatuhan, Zakariah menebalkan muka untuk menjalankan perniagaan Pemasaran Pelbagai Peringkat (MLM) pada 2003 dan dalam masa sama, dia memperkenalkan program motivasi, Mentor Jutawan.
Meninggalkan dunia MLM pada 2010, Zakariah mengambil langkah berani apabila membuka syarikat di Malaysia dan Indonesia yang membekalkan jus ginseng bagi dua pasaran berkenaan. Malangnya, syarikat itu hanya mampu bertahan setahun.
Kembali menguruskan program motivasi, Zakariah berniat menghantar guru agamanya bersama lapan anak murid mengerjakan umrah pada Julai 2011. Dalam kesempitan hidup, dia menunaikan janji meskipun terpaksa menjual rumahnya.
“Saya pinta pada mereka supaya mendoakan kesihatan saya sekeluarga dan rezeki dimurahkan. Baki daripada hasil penjualan rumah selepas pembayaran umrah, saya gunakan sebagai modal perniagaan.
“Syukur, rezeki Allah SWT besar dan berkat doa mereka yang mengerjakan umrah, perniagaan saya berkembang sedikit demi sedikit. Pada awal 2012, saya memulakan perniagaan mengimport buah goji dari China.
“Kemudian timbul idea untuk menubuhkan syarikat pengurusan umrah, di mana pakej ditawarkan jauh lebih rendah dengan niat membantu orang tidak berkemampuan mengerjakan umrah, dan ia berjaya disempurnakan pertengahan tahun lalu,” katanya yang memperkenalkan I Umrah Rakyat Sdn Bhd.
Mengenai keuntungan memperkenalkan pakej umrah murah, Zakariah berkata, walaupun syarikatnya menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk iEPU TPMBiotech, Seven Seas Travel & Tours Sdn dan I PMC Global Sdn Bhd, Umrah Rakyat, ia bukan berasaskan keuntungan, sebaliknya dapat ditawarkan pada harga demikian hasil infak keuntungan daripada anak syarikat lain.
Hasil termeterainya perjanjian antara pihak Zakariah, Gansu Chamber Of Commerce dan Mestika Sdn Bhd pada awal Disember 2012, Zakariah bakal menjalankan projek bernilai RM20 bilion bagi menghasilkan pulau buatan manusia terbesar di Asia.
Memilih Melaka sebagai lokasi strategik, lelaki gigih ini optimis, projek akan dimulakan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap selepas tujuh tahun dengan memperkenalkan konsep pusat perdagangan Islam antarabangsa.
0 Response to "Cakap Berapi-Api… Kini Diburu Polis Kerana Dipercayai Menipu Pakej Umrah"
Post a Comment